MOSCOW – Tentera Ukraine meletupkan sebuah pelantar minyak milik Russia yang mengakibatkan seramai 40 askarnya terbunuh di Laut Hitam, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Presiden Vladimir Putin, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Kemudahan yang musnah itu dipenuhi dengan peralatan peninjau yang digunakan dalam perang Russia ke atas negara itu, lapor media Ukraine.
Rakaman video dramatik menunjukkan bola api gergasi meletus di pelantar minyak tersebut selepas ia disasarkan oleh tentera laut Ukraine.
Beberapa letupan susulan boleh dilihat dalam video tersebut apabila rizab minyak dengan pantas terbakar sebelum struktur pelantar itu hangus.
Kiev mengumumkan kejayaan serangan ke atas pelantar itu dan mendakwa bahawa sehingga 40 anggota tentera Russia yang dipercayai berada di atasnya ketika letupan terjadi, terbunuh.
Menurut Ukraine, pelantar minyak itu dahulunya dikawal oleh tentera Kiev sebelum ia diduduki oleh tentera Moscow dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Masih tidak jelas jenis senjata yang digunakan tentera Ukraine sehingga menyebabkan letupan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Belarus mengerahkan lebih ramai tentera ke sempadannya dengan Ukraine kelmarin selepas beberapa dron dari negara itu melintasi ruang udaranya.
“Bagaimanapun, dron-dron itu berjaya dipintas oleh pertahanan udara Belarus pada Jumaat lalu,” kata Menteri Pertahanan, Viktor Khrenin dalam satu kenyataan.
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berkata semasa taklimat akhbar kelmarin: “Kami mengesyaki ia adalah dron serangan.”
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai provokasi dan berkata, pegawai-pegawai tentera awam telah diarahkan untuk mengambil langkah yang relevan untuk memastikan keselamatan negara.
Sementara itu, Russia memindahkan berpuluh-puluh ribu orang dari wilayah sempadannya dan melancarkan operasi bagi memerangi keganasan ketika ia bergelut untuk membendung pencerobohan besar tentera Ukraine.
Moscow turut memberi amaran bahawa pertempuran di wilayah Kursk, barat Russia membahayakan loji tenaga nuklear.
Unit-unit tentera Ukraine merentasi sempadan Russia pada pagi Selasa lalu dalam apa yang dianggap sebagai serangan terbesar dan paling berjaya oleh Kiev setakat ini, dalam konflik selama dua setengah tahun itu.
“Lebih 76,000 orang telah dipindahkan buat sementara waktu ke tempat selamat,” lapor agensi berita TASS yang dikendalikan kerajaan dengan memetik seorang pegawai Kementerian Situasi Kecemasan Wilayah.
Dalam pada itu, seorang lelaki dan anaknya yang berusia empat tahun terbunuh dalam serangan peluru berpandu tentera Russia semalaman berhampiran ibu kota Ukraine, Kiev, kata perkhidmatan kecemasan semalam.
Letupan berlaku pada malam kelmarin di tengah dan timur Kiev, kata wartawan AFP sambil menambah, siren serangan udara kedengaran di ibu negara dan sekurang-kurangnya dua cahaya dapat dilihat di langit pada waktu malam.
Pentadbiran tentera Kiev berkata dalam siaran di Telegram bahawa sistem pertahanan udara bandar itu telah diaktifkan, manakala tentera udara Ukraine memberitahu, lima wilayah lain diserang oleh dron dari Russia. – AFP/AGENSI