REMBAU – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Negeri Sembilan iaitu di Masjid Lubok Cina, di sini, malam tadi susulan kejadian banjir kilat.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Rembau, Mohd. Zamri Mohd Esa berkata, PPS berkenaan di buka kira-kira pukul 9.30 malam tadi dan menempatkan dua buah keluarga.
Menurutnya, secara keseluruhannya terdapat lapan mangsa di lokasi PPS berkenaan termasuk seorang warga emas lelaki dan tiga orang kanak-kanak.
“Bagaimanapun, empat daripada lapan orang mangsa tidak tinggal di PPS berkenaan kerana dipercayai telah pulang ke rumah susulan hujan sudah berhenti dan banjir kilat semakin pulih.
“Kita akan meneruskan pemantauan di kawasan terlibat banjir kilat dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE