PETALING JAYA – Pelumba berbasikal trek Jepun, Shinji Nakano membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia susulan kejadian yang berlaku semasa perlawanan di Olimpik Paris semalam.
Nakano melalui satu hantaran di TikTok turut meminta orang ramai supaya tidak melibatkan ahli keluarganya.
“Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan saya.
“Tolong jangan sebut nama ahli keluarga saya, saya yang bertanggungjawab jadi mohon jangan libatkan keluarga saya,” katanya.
Terdahulu, media sosial Nakano diserang netizen Malaysia kerana dikatakan menjadi punca pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sarom terjatuh sekali gus terlepas pingat di pentas Sukan Olimpik.
Dalam acara tersebut Muhammad Shah Firdaus dilihat berada dalam kedudukan ketiga namun segalanya berubah apabila berlaku insiden pelanggaran itu.
Ketika itu, pelumba Great Britain, Jack Carlin terlebih dahulu terjatuh sebelum Nakano dilihat hilang kawalan sebelum merempuh Muhammad Shah Firdaus dari arah belakang. – KOSMO! ONLINE.