fbpx

Polis siasat ‘YouTuber’ gugur kandungan minggu ke-36

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman video menunjukkan seorang pesohor media sosial yang mendakwa dia menggugurkan kandungan. – AGENSI

SEOUL –  Polis Korea Selatan menyiasat seorang pesohor laman YouTube kerana menyiarkan rakaman  video dia menjalani pengguguran lewat dalam kejadian yang mengundang kemarahan netizen dan gesaan kementerian kesihatan supaya kes itu disiasat sebagai pembunuhan.

Video tersebut disiarkan di laman YouTube milik Google pada Jun lalu.

Pesohor media sosial yang identitinya dirahsiakan polis  itu berkata, dia menggugurkan kandungan pada minggu ke-36 kehamilannya kerana lewat mengetahui dirinya mengandung.

Rakaman video yang kemudiannya dipadamkan itu  pantas menjadi tular di Korea Selatan, dengan tangkap layar  kandungannya  beredar secara meluas di internet.

“Kami telah menangkap wanita terbabit dan ketua klinik perubatan yang melakukan prosedur tersebut sebagai suspek,” kata wakil Agensi Polis Seoul kepada AFP.

Polis mengesahkan rakaman itu adalah tulen. Menurutnya, polis berjaya mengenal pasti klinik terbabit selepas menganalisis klip  video yang disiarkan.

Polis sedang menyiasat apa yang sebenarnya berlaku, kata seorang pegawai polis lain seperti dipetik  agensi berita Yonhap, sambil menambah, siasatan kes itu mungkin melibatkan lebih ramai orang.

Sehingga tahun 2019, Korea Selatan adalah salah satu daripada segelintir negara perindustrian yang mengharamkan pengguguran, kecuali dalam kes rogol, sumbang mahram dan apabila kesihatan ibu hamil terancam.

Bagaimanapun,  lima tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan mengarahkan larangan itu ditarik balik kerana ‘bercanggah dengan perlembagaan’ negara. 

Ia mengarahkan undang-undang itu disemak semula menjelang akhir 2020 tetapi semakan masih belum dilakukan.

Hasil daripada kelemahan tersebut, secara teknikal tiada had masa untuk pengguguran tetapi polis mempunyai  kuasa untuk menyiasat. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI