fbpx

Penipuan online catat kerugian RM3.18 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gobind (kanan) ketika sidang media pada majlis menandatangani MoU antara Axiata dengan MDEC dan CyberSecurity Malaysia, hari ini. - Foto SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

PETALING JAYA – Kes penipuan dalam talian mencatatkan kerugian sebanyak RM3.18 bilion sejak 2021 sehingga April lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jumlah kerugian itu direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melibatkan seramai 95,800 mangsa.

“Ini laporan yang kita terima dan saya percaya, ramai lagi yang menjadi mangsa tetapi tidak membuat laporan,” katanya selepas hadir majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Axiata Group Berhad bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini hari ini.

Menurut beliau, terdapat peningkatan membabitkan kes keselamatan siber sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, sebanyak 3,607 kes keselamatan siber direkodkan berbanding 3,327 kes bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Kes paling tinggi dicatatkan melibatkan penipuan sebanyak 2,337 kes. Ia disusuli kes membabitkan kod hasad (362), pelanggaran data (312), percubaan pencerobohan (240), pencerobohan (230), kelemahan sistem (69), spam (46) dan serangan penafian perkhidmatan (11).

Oleh itu kementerian mengalu-alukan pemain industri dan pakar bidang digital untuk bekerjasama bagi membentuk ekosistem digital negara yang kukuh selain memastikan ia selamat digunakan.

“Selain itu, saya harap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang dipinda baru-baru ini, dikuatkuasakan hujung bulan ini dalam memastikan pengurusan data peribadi dalam keadaan selamat.

“Kami juga berharap Suruhanjaya Data dapat ditubuhkan hujung tahun ini supaya keselamatan data negara lebih terjamin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerjasama Axiata bersama CSM dan MDEC merupakan sebahagian kerjasama dan insiatif sektor awam dan swasta bagi memastikan matlamat kementerian tercapai.

Menerusi MoU itu, ketiga-tiga pihak bersetuju mempromosikan transformasi digital, inovasi dalam keselamatan siber dan perkongsian sumber untuk mengenal pasti ancaman siber selain bekerjasama dalam pembangunan norma serta piawaian antarabangsa. – habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI