fbpx

Pemandu Mercedes didakwa mabuk, sebabkan dua maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cong Li ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dua lelaki Sabtu lalu.

Tertuduh, Lim Cong Li, 23, yang merupakan graduan Pengurusan Perniagaan dan Logistik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Cong Li didakwa memandu kereta Mercedes C200 berwarna hitam dengan alkohol mebihi had ditetapkan iaitu 114 miligram (mg)/100 mililiter (ml) dan menyebabkan kematian S. Dinesh Raj serta R. Panthalaraasan.

Kedua-dua mangsa berusia 22 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala pusat bandar di sini pada pukul 6.43 pagi, 10 Ogos lalu.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Vincent Lawrence merayu agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin dalam jumlah yang rendah kerana memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang ditahan.

Majistret Fatin Dayana membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan selain lesen tertuduh digantung sementara kes dibicarakan.

Pada 10 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan dua penuntut kolej maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Jalan Cheras, di sini.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan lain.

Akibat kejadian itu, dua lelaki berusia 22 tahun meninggal dunia. Ekoran itu, polis menahan lelaki berusia 23 tahun dipercayai mabuk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI