ALOR GAJAH – Suami kepada guru yang dibunuh kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, mendedahkan isterinya itu pernah meminjamkan wang sebanyak RM19,400 yang diperoleh daripada pinjaman bank kepada suspek lelaki pada September tahun lalu.
Mohd. Yusoff Mokhtar, 35, berkata, suspek bagaimanapun ada membuat bayaran balik secara ansuran sebanyak RM371 sebulan sehingga Disember sebelum mengajak Istiqomah menambah jumlah pelaburan dalam pasaran pertukaran asing.
“Suspek tiba tiba-tiba muncul dan mengajak isteri menyertai perniagaanya. Pada September tahun lalu Istiqomah ada membuat pinjaman bank dan menyerahkan sejumlah RM19,400 kepada lelaki itu, yang merupakan kenalannya ketika di maktab perguruan.
“Bulan seterusnya sehingga Disember, suspek ada membuat bayaran balik RM371 sebulan dan mengajak Istiqomah berjumpa untuk menambah pelaburan, namun isteri menolak,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, isterinya juga ada memakai gelang emas pemberian arwah neneknya dianggarkan bernilai RM40,000 ketika berjumpa dengan suspek, namun barang kemas itu turut lesap dalam kejadian bunuh tersebut.
“Luluh hati saya bila dapat tahu isteri tersayang yang hilang sejak lapan bulan lalu ditemukan dalam keadaan beberapa anggota badannya dikerat dan dibuang di sekitar Melaka.
“Jika sebab duit atau emas sekali pun kenapa sampai sanggup bertindak sekejam itu sehingga menyebabkan tiga anak kami berusia 4, 6 dan 9 tahun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu,” katanya.
Ujarnya, dia kini hanya menunggu kebenaran pihak polis untuk menuntut jenazah isteri di Unit Forensik Hospital Melaka untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.
Kosmo! hari ini melaporkan pihak polis mengesahkan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang dijumpai disumbat di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, pada 31 Disember tahun lalu adalah, Istiqomah Ahmad Rozi.
Ashari berkata, hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos lalu adalah sepadan dengan mayat ditemui.
Katanya, susulan itu polis menahan seorang suspek lelaki berusia 37 tahun dan isterinya, 36 tahun di Chemor, Perak selepas disyaki terlibat dalam jenayah tersebut. -KOSMO! ONLINE.