KETUA jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley mengakui pihaknya telah melakukan sehabis baik agar Datuk Azizulhasni Awang dapat meneruskan perjuangan dalam acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi terpaksa akur disebabkan peraturan ditetapkan.
Pada aksi di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Azizulhasni berada dalam momentum terbaik untuk mengungguli acara kegemarannya awal pagi semalam tetapi membuat kesilapan dengan mendahului pacer menyebabkan penyertaannya dibatalkan serta-merta.
Beasley mengakui kesilapan itu perlu dibayar dengan harga mahal sekali gus memohon maaf kerana kegagalan untuk membutirkan pingat emas Olimpik menerusi Azizulhasni.
“Ya, kami melakukan kesilapan, jadi ini adalah kesalahan kam dan tidak boleh menariknya kembali. Saya rasa amat sedih terutama apa yang berlaku ketika ini dan saya yakin dia (Azizul) masih dalam keadaan terkejut dan tidak percaya. Kami semua sangat kecewa.
“Peraturannya adalah anda tidak dibenarkan melepasi motosikal sebelum ia keluar dari trek. Malangnya, kami telah melepasi motosikal itu dengan jarak agak besar.
“Jadi, saya rasa kami tidak ada ruang untuk membuat bantahan mengenainya. Kami mencuba dari setiap sudut. Ketika itu, pacer tidak bergerak sepantas yang sepatutnya dan melakukan 45 km/j (kilometer per sejam), bukannya 50 km/j.
“Namun, pada akhirnya, dia (Azizulhasni) melepasi motosikal. Kami telah membuat kesilapan, perlu membayar harga yang tinggi untuk itu,” katanya.
Dalam masa sama, Beasley mengakui ia bukan sesuatu dimahukan Azizulhasni kerana Paris 2024 adalah Olimpik terakhirnya dalam usaha memburu pingat emas selepas pernah meraih perak edisi Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.
“Mengakhirinya dengan cara ini adalah detik yang mengecewakan buat Azizul kerana dia dalam prestasi terbaik memulakan cabaran Olimpik terakhirnya serta perlumbaan yang terakhir untuk Malaysia.
“Saya ingin memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan kami tahu tidak mudah untuknya kerana perlu berhadapan dengan orang ramai. Namun, perlu terus melangkah ke hadapan,” tambahnya.