PETALING JAYA – Bermula malam ini hingga subuh 13 Ogos 2024 orang ramai boleh melihat Hujan Meteor Perseids melintasi ruang langit Malaysia dengan purata 100 meteor per jam.
Menurut laman web Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus.
“Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
“Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi Matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle,” katanya.
Jelasnya, Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
“Komet ini kali terakhir mendekati bumi pada tahun 1992 dan dijangkakan akan menghampiri bumi semula pada tahun 2126.
“Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.
“Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang Panjang,”kongsinya.
Sehubungan itu, Mysa berkongsi tip kepada orang ramai yang mahu mencerap Hujan Meteor Perseids malam ini seperti berikut:
*Pastikan anda berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit yang gelap (tiada gangguan cahaya).
*Pandangan anda juga tidak terhalang dengan bangunan yang tinggi, pokok atau rumah.
*Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik.
*Sesuaikan mata anda dengan keadaan yang gelap selama 20 minit.
*Tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.- KOSMO! ONLINE