fbpx

Lelaki minum racun lepas tikam isteri meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hospital Jempol. FOTO NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

JEMPOL – Seorang lelaki yang dilaporkan nekad bertindak meminum racun rumpai di kebun durian di Jelebu, selepas melarikan diri setelah menikam isterinya dalam kejadian di Flat Meranti, Bahau, Sabtu lalu, meninggal dunia, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas Hospital Jempol kira-kira pukul 3.06 pagi tadi.

Menurutnya, punca kematian mangsa ialah keradangan paru-paru disebabkan keracunan ammonia.

“Suspek mendapat rawatan awal di Hospital Jempol pada hari yang sama suspek menikam isterinya. Polis telah ke Hospital Jempol kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin (Sabtu) untuk mengesahkan keberadaan suspek di hospital.

“Suspek ketika itu telah berada di Bahagian Kecemasan Hospital Jempol untuk menerima rawatan awal dan berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan suspek menikam isterinya berusia 30 tahun di bahagian rusuk kiri dengan pisau sebanyak dua kali selepas berlaku selisih faham antara mereka di rumah berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa kemudiannya menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah,Kuala Pilah manakala suspek telah melarikan diri sebaik kejadian dan berada di kebun durian di Jelebu.

Suspek bertindak minum racun rumpai lalu dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI