fbpx

KSN baharu fokus agenda tatakelola baik dalam pentadbiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Azri mengimbas kad perakam waktu (clock-in) sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Sejumlah 1.6 juta penjawat awam di negara ini perlu meneruskan agenda pengurusan tatakelola baik, seterusnya berterusan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pengurusan tatakelola baik akan menjadi elemen utama dalam pembaharuan pentadbirannya seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepertimana dibawakan oleh Perdana Menteri yang amat mementingkan tatakelola, itu merupakan salah satu agenda saya dalam mentadbir,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘clock in’ di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Shamsul Azri mengimbas kad perakam waktu pada pukul 8.54 pagi sebagai simbolik ‘clock-in’ memulakan tugas sebagai KSN yang ke-16.

Pelantikan Shamsul Azri bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang tamat kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos lalu turut mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, penjawat awam juga perlu meletakkan rasa taat setia kepada kerajaan di mana kumpulan itu merupakan benteng utama kepada pentadbiran negara.

“Alhamdulillah, ini hari pertama saya jalankan tugas sebagai KSN dan pada kesempatan ini saya merayu kepada penjawat awam untuk kerja bersama-sama bagi membangunkan negara tercinta.

“Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada, kita dapat beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan kepimpinan PM, saya yakin beliau akan membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai berkaitan pengumuman sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Jumaat ini, Shamsul Azri berkata, ada berita baik untuk penjawat awam kelak.

“Tidak boleh bocor rahsia, insya-Allah ada berita baik untuk penjawat awam,” jelasnya ringkas.

Untuk rekod, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada Jumaat ini sempena MAPPA yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI