fbpx

Kerugian lebih RM500 juta babit ‘phone scam’ sejak 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini (kiri), Ramli (tengah) dan Manwoo Joo (kanan) ketika Majlis Menandatangani MoU Kesedaran Penipuan Bungkusan hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kerugian sebanyak RM506.44 juta membabitkan 9,422 kes penipuan panggilan sejak tahun 2021 hingga Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM65.46 juta membabitkan 1,411 kes dilaporkan berlaku dari Januari hingga Julai tahun ini.

Beliau berkata, kerugian RM30.18 juta iaitu 535 kes melibatkan phone scam penyamaran sebagai Pos Laju sejak 2022 hingga Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 87 kes berkaitan dengan penyamaran sebagai kakitangan Pos Laju dengan nilai kerugian RM2.99 juta.

“Kami memuji usaha Pos Malaysia dan Whoscall atas langkah proaktif ini dalam memerangi penipuan dalam talian khususnya melibatkan phone scam.

“Inisiatif #ScamFreeMalaysia adalah bukti usaha kolektif kita dalam memerangi jenayah dalam talian dan melindungi orang awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Kempen Kesedaran Penipuan Bungkusan Bersama Pos Malaysia dan Whoscall di ibu pejabat Pos Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman dan Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo.

Ujarnya, kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall merupakan langkah yang signifikan dalam usaha berterusan bagi memerangi penipuan dalam talian, termasuk isu penipuan phone scam di negara.

Tambah beliau, landskap penipuan dalam talian sentiasa berkembang dan sentiasa wujud taktik baru untuk memerangkap mangsa ditambah dengan kewujudan pelbagai teknologi canggih termasuk Kecerdasan Buatan (AI).

“Sebagai contoh, pada tahun 2022, sebanyak 25,479 kes penipuan dalam talian disiasat PDRM dengan kerugian RM851.12 juta.

“Pada tahun 2023, jumlah ini meningkat sebanyak 35.4 peratus kepada 34,495 kes dengan nilai kerugian mencecah RM1.21 bilion,” jelasnya.

Tambah beliau, untuk tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 18,660 kes penipuan dalam talian telah disiasat oleh PDRM dengan nilai kerugian sebanyak RM758.4 juta.

“Berdasarkan rekod kes ini, PDRM percaya menjelang akhir tahun 2024, jumlah kes yang direkodkan akan sekurang-kurangnya menyamai jumlah kes pada tahun 2023.

“Cabaran ini juga yang telah mendorong PDRM untuk meneroka semua kemungkinan untuk menyebarkan mesej anti-penipuan dan menubuhkan mekanisme perlindungan bagi orang ramai untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi Whoscall dan menggunakannya sebagai mekanisme pencegahan jenayah komersial. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI