fbpx

Kemarau punca negara masih berdepan masalah pengeluaran padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada seorang petani pada Program Libat Urus Bersama Pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang di Dewan Serbaguna, Kampung Jerek dekat Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Kemarau dan taburan hujan yang sedikit terutamanya di Kelantan dan Lembah Kerian, Perak menyebabkan negara ketika ini masih berdepan masalah pengeluaran padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, bekalan beras ketika ini masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

Katanya, bekalan beras dalam negara cukup kerana mendapat bantuan selain jalinan hubungan baik dengan negara pengeluar beras seperti Thailand dan Vietnam.

“Kita kurang kerana tidak melabur di luar negara. Hubungan yang baik itu berguna jika berlaku kekurangan beras untuk dapatkan beras tambahan dari Thailand, Vietnam atau lain-lain negara.

“Negara masih lagi menghadapi masalah beras. Lain-lain perkara kita sudah selesai dan telah nampak kejayaannya,” katanya pada Program Libat Urus Bersama Pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang di Dewan Serbaguna, Kampung Jerek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, pihaknya tidak dapat menganggarkan kerugian yang dialami petani, tetapi mengesan berlaku kelewatan penanaman di Kelantan.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengeluaran padi dalam negara.

“Kita cuba mendalamkan kawasan pam air di empangan Kemubu termasuk di seluruh negara seperti negeri Sabah dan Sarawak.

“Kedua-dua negeri itu boleh menjadi lokasi pengeluaran beras pada masa akan datang. Jadi, kerajaan kena berbelanja besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI