fbpx

Harimau Malaya kembali ‘kosong’ tanpa Pan-gon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAM digesa untuk mencari langkah alternatif agar momentum yang ditinggalkan Pan-gon dapat diteruskan. - GAMBAR HIASAN

PEMINAT Harimau Malaya menerima tamparan hebat pada 16 Julai lepas apabila pengendali kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon membuat keputusan mengejut untuk letakkan jawatan selaku ketua jurulatih serta-merta.

Selepas hampir 28 bulan berbakti di bumi Malaysia, ­Pan-gon memilih jalan untuk keluar atas alasan peribadi meskipun masih terikat kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga 2025.

Ia bukan keputusan yang mudah untuk diterima oleh semua pihak terutama selepas Pan-gon dilabel sebagai wira apabila berjaya menaikkan semula prestij Harimau Malaya dalam tempoh singkat.

Antara kejayaan yang dicapai oleh Pan-gon adalah untuk memastikan Malaysia dapat layak secara automatik ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun.

Selain itu, Pan-gon juga membantu menaikkan ranking Harimau Malaya sehingga pernah mencecah tangga ke-130 dunia pada tahun lalu.

Aura yang dimiliki Pan-gon juga dianggap luar biasa kerana dia mampu menaikkan jumlah kehadiran penyokong selaku ‘pemain ke-12’ untuk memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, segalanya sudah berakhir apabila Pan-gon kini sudahpun menemui ‘jodoh’ baharu apabila rasmi menjadi ketua jurulatih kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD awal bulan ini.

Kini, FAM digesa untuk mencari langkah alternatif agar momentum yang ditinggalkan Pan-gon dapat diteruskan barisan kejurulatihan yang kini diketuai buat sementara waktu oleh Pau Marti Vicente.

Bekas pemain skuad kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan ketiadaan Pan-gon boleh menjejaskan rentak cemerlang yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya sejak beberapa tahun lepas.

“Saya percaya seluruh peminat bola sepak tanah air terkejut dengan keputusan Pan-gon. Bukan mudah untuk kita mendapatkan jurulatih berkaliber seperti yang bekerja keras untuk pasukan.

“Lebih penting, keistimewaan Pan-gon adalah dia memiliki jiwa untuk bimbing Harimau Malaya dan sudah pasti kehilangannya satu kerugian buat negara,” katanya.

Sementara itu, penyokong setia Harimau Malaya pula digesa ‘move on’ daripada memori manis bersama Pan-gon sekali gus mendukung semula projek skuad kebangsaan daripada bawah.

Pandangan tersebut disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim yang melihat peletakan jawatan seseorang jurulatih itu perkara normal dalam bola sepak.

“Saya menganggap bahawa peletakan jawatan Pan-gon merupakan perkara biasa dalam era bola sepak profesional.

“Melihat pada pengumuman yang dibuat oleh Pan-gon, jurulatih itu jelas meletak jawatan atas keputusan peribadi.

“Saya harap semua penyokong bola sepak Malaysia untuk terus memberi sokongan buat skuad kebangsaan dalam usaha menaikkan lagi ranking bola sepak negara melonjak naik,” katanya.

Buat masa sekarang, tugas pertama Pau Marti adalah untuk memastikan skuad kebangsaan dapat tampil cemerlang pada ‘debut’ antarabangsa pertama sempena Pestabola Merdeka 2024 bulan depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI