PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berlarutan melibatkan beberapa buah negeri pada petang ini.
MetMalaysia dalam laporannya berkata, hujan dijangka berlaku di pedalam negeri Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan juga di bahagian tengah dah timur Johor.
Katanya, hujan lebat akan lebih tertumpu pada sebelah petang nanti melibatkan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu.
“Pada keadaan cuaca di negeri Sabah dan Sarawak pula, hujan lebat akan lebih tertumpu di bahagian Kapit, Miri dan Limbang di Sarawak.
“Begitu juga di bahagian pedalaman dan pantai barat di negeri Sabah,” katanya di sini hari ini.
Sesulan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir di Sabah dan Sarawak pada petang ini yang dijangka berlaku sehingga pukul 4 petang nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Sarawak di daerah Miri dan Limbang.
“Sementara itu, di Sabah amaran tersebut dikeluarakan bagi daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan dan Keningau) dan Sandakan (Tongod),” katanya.
Katanya amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE