BERTANGGUNGJAWAB dalam melakukan penyelidikan dalam pengeluaran hasil pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa mengeluarkan hasil buah terbaik termasuk durian.
Durian klon MDUR 88 yang dihasilkan oleh MARDI juga setanding dengan durian lain yang mendapat permintaan ramai seperti musang king.
Untuk makluman, durian MDUR 88 adalah hasil kajian MARDI, di mana pokok durian D24 dikacuk dengan D10 untuk menghasilkan hibrid.
Berbanding MDUR 78 dan MDUR 79, buah MDUR 88 memiliki isi kuning keemasan, rasa lemak manis dan mampu tahan selama tiga hari sebelum merekah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ketika ini, MARDI telah berjaya menghasilkan varieti durian sendiri termasuk MDUR 88.
Menurutnya, harga yang ditawarkan juga lebih murah iaitu RM25 sekilogram berbanding dengan musang king.
“Bagi saya, rasa MDUR 88 ini setanding dengan musang king.
“Maka, ia boleh menjadi satu alternatif untuk kita mengimbangi harga bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan durian yang sedap.
“Selain itu, kita sangat-sangat terbuka untuk eksport durian ini ke luar negara.
“Pada masa sama, agensi di bawah kita seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa berusaha untuk mempromosikan durian ini kepada negara lain,” katanya sewaktu lawatan kerja ke Durio Tourism di MARDI Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
Tambahnya, permintaan durian paling tinggi adalah dari China.
Ujar Arthur, pihaknya juga sudah menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan China.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, jika negara ingin mengeksport durian ke pasaran antarabangsa terutamanya untuk jualan segar, kaedah pembungkusan sangat penting.
“Kita juga telah berbincang dengan pihak MARDI dan mereka telah mewujudkan satu proses pembungkusan khas.
“Ia akan diperkenalkan kepada awam tidak lama lagi supaya pengusaha-pengusaha durian kita boleh mengikut prosedur pembungkusan durian segar bagi memastikan buah tahan lebih lama,” jelasnya.