fbpx

Daftar segera kenderaan layak subsidi diesel – Fuziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah Salleh pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Restoran Ayam Gepuk Top Global di Taman Sri Gombak di sini hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

BATU CAVES – Semua pihak yang layak memohon ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) digesa untuk melakukan pendaftaran secepat mungkin.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, jurang yang besar permohonan itu dibimbangi akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

Katanya, berdasarkan data setakat minggu lalu, hanya 259,000 daripada 410,000 kenderaan yang layak telah memohon untuk mendapatkan ‘fleet card’ bagi Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) MySubsidi Diesel.

“Kita lihat jurang ini amat besar dan dikhuatiri akan memberi kesan kenaikan barangan kerana mereka yang layak mendapat penyasaran subsidi tersebut tetapi tidak membuat pendaftaran.

“Oleh itu, saya mengajak kepada semua yang layak untuk segera memohon subsidi diesel itu.

“Tak perlu ada banyak lori, tak perlu ada banyak kenderaan, kalau ada satu lori satu tan pun boleh memohon sekiranya anda layak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-27 Ayam Gepuk Top Global di Taman Sri Gombak, Batu Caves, di sini hari ini.

Terdahulu, inisiatif Budi Madani yang dibuka sejak 28 Mei 2024 adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi Individu.

Sementara itu Fuziah berkata, pada tahun 2023, sektor perniagaan makanan menyumbang RM36.25B Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah menyumbang sebanyak 38.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Lebih penting lagi, sektor ini telah memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Statistik menunjukkan bahawa PKS telah menyediakan lebih daripada 7.3 juta peluang pekerjaan,” katanya.

Jelasnya, ini menunjukkan betapa pentingnya sektor PKS dalam menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI