JOHOR BAHRU – Suami kepada seorang guru wanita yang dibunuh dengan kejam menafikan hubungan suspek dengan wanita itu yang didakwa bekas kekasih.
Namun sebaliknya, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berkata, dia menerima maklumat siasatan bahawa isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, hanya berjumpa dengan suspek atas urusan bisnes.
“Bukan bekas teman lelaki, dia hanya rakan berniaga.
“Pegawai polis di Ayer Keroh pun ada cakap dengan saya, jangan dengar pihak lain, kes ni saya (pegawai) yang siasat.
“Kenalan dia (suspek) ajak dia (isteri) masuk bisnes tetapi orang rumah tak nak, paksa orang rumah join (sertai) bisnes dan berkemungkinan dari situ berlaku pergaduhan dan paksa orang rumah jual gelang emas,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini hari ini.
Mohd. Yusof berkata, berikutan itu isterinya dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dia dilaporkan hilang.
Katanya, dengan pencerahan yang dibuat itu dapat memperbetulkan tanggapan negatif terhadap arwah isterinya itu.
Sebelum ini, Istiqomah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, itu dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja sejak 26 Disember lalu.
Sehari kemudian polis mengesahkan menerima laporan kehilangannya dan pada 28 Disember lalu.
Pada 6 Januari 2024, Kosmo! melaporkan menemui bahagian badan wanita dipercayai dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbat dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember 2023.
Bagaimanapun, hari ini, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu itu adalah milik Istiqomah. – KOSMO! ONLINE