KEMAMAN – Seorang ibu tidak menyangka keterujaan dua anak perempuannya mengikuti trip mencandat sotong di Terengganu buat pertama kali berakhir tragedi apabila anak kelimanya antara dua yang masih hilang dalam insiden bot dirempuh tongkang di perairan Kuala Kemaman semalam.
Haziyah Harun, 64, berkata, Aina Husna Muhammad Husaini, 25, yang merupakan juruterapi di sebuah pusat spa di Damansara, Selangor sanggup mengambil cuti tiga hari untuk mengikuti trip mencandat sotong berkenaan.
“Sebelum ini saya sudah tiga kali mencandat sotong di Terengganu dan dua anak saya, Ain Farhana dan Aina Husna teruja mahu merasai pengalaman mengikuti trip kali ini.
“Kami telah merancang trip mencandat sotong ini sejak tiga bulan lalu yang turut disertai keluarga kenalan dari Raub Pahang dan kawan-kawan anak,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Muhamad Husaini Ayob, 60, di pusat kawalan operasi di Kuala Kemaman di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan dua maut manakala dua termasuk Aina Husna masih hilang setelah bot mencandat sotong dinaiki mereka dirempuh sebuah tongkang pada kedudukan kira-kira 15 kilometer dari perairan Kemaman.
Mayat Siti Zaminah Mohmad Zobini, 29, yang merupakan kawan Ain Farhana dan tekong bot, Shahril Ismail, 50, ditemui kelmarin manakala Aina Husna dan Yusof Kassam,66, pula masih hilang.
Haziyah berkata, Ain Husna dan kakaknya, Ain Farhana yang teruja mengikut trip mencandat sotong buat kali pertama itu turut membeli peralatan memancing termasuk joran dengan ditemani bapa mereka, Muhamad Husaini pada Khamis lalu.
Dia yang menetap di Tasik Puteri, Rawang, Selangor berkata, Ain Husna juga pernah berseloroh ajalnya bakal menyusul tidak lama lagi sewaktu sepupu lelakinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Bukit Lanjan, Damansara pada bulan Julai lalu.
“Apapun saya harap dapat menemui segera tubuh anak saya (Ain Husna) walau apapun keadaannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.