KUALA LUMPUR – Bertahun-tahun bermasam muka, penyanyi Sufi Rashid akhirnya sudah kembali berbaik dengan ibunya, Suriana Mahmud bahkan hubungan mereka kini bertambah akrab.
Sufi atau nama sebenarnya Muhammad Sufi Rashid, 33, berkata ikatan anak-beranak termasuk antara ibu dengan isterinya, Nurulain Md. Yusof juga pulih sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
“Alhamdulillah kami berdua dan mama sudah pun kembali okey. Begitu juga dengan keluarga Ain, semua sudah berbaik-baik.
“Sejak hari raya tahun lepas kami semua berdamai dan Alhamdulillah kini keadaan sudah seperti sedia kala.
“Kita tutup buku lama, buka buku baru, lupakan sengketa lama, tiada manusia yang sempurna,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menyimpan kemas hal peribadi, pelantun lagu Aku Sanggup itu memilih enggan berkongsi kemelut tersebut kepada khalayak selain berpendapat perihal peribadi perlu diselesaikan tanpa membabitkan orang luar.
“Setiap orang lain caranya. Tetapi bagi saya, perkara yang mengaibkan kita simpan dalam keluarga sahaja, tak perlu kongsi dalam media sosial, nanti jadi melarat.
“Saya mengambil pendekatan untuk sentiasa bersabar dengan apa yang berlaku.
“Bagi saya kalau bergaduh ke apa, tak perlu balas membalas sebab diam itu lebih baik,” luahnya.
Enggan mengenang peristiwa pahit itu lagi, Juara Akademi Fantasia 2015 itu menyifatkan segala yang terjadi sebagai pengajaran bermakna buat dirinya.
“Apa yang saya hadapi sebelum ini saya anggap sebagai satu pengalaman dan pengajaran untuk saya.
“Kalau suatu hari nanti saya ada perselisihan faham dengan anak, saya tidak akan lakukan apa saya lalui sebelum ini.
“Apabila bergelar selebriti, bukan sahaja kena tunjuk contoh baik kepada keluarga tapi semua orang,” jelasnya.
Sufi dan Nurulain yang berkahwin pada 21 September 2019 itu bakal menimang cahaya mata pertama pada 9 November depan.
Sebelum ini, timbul insiden ketika majlis persandingan mereka memperlihatkan Nurulain bertindak meninggalkan pelamin sewaktu ibu mentuanya datang bersalaman dan memeluk Sufi.
Malah, keretakan hubungan menantu dan mentua itu didakwa berlaku berikutan ikatan pernikahan yang tidak direstui keluarga – KOSMO! ONLINE