PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2024 akan dilaksana pada 20 hingga 22 Ogos ini melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, seramai 8,195 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU 2024 di 187 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Jelas KPM, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu, seramai 1,329 petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu manakala 1,189 petugas lagi untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.
“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU 2024 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan SPMU 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya hari ini.
Selain itu, KPM mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my,” katanya.
Ujar KPM, calon harus mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU 2024. – KOSMO! ONLINE