ALOR SETAR – Jenazah ulama terkenal, Tok Guru Awang Lanai atau nama sebenarnya Abdul Wahab Hassan, 86, selamat disemadikan di Perkuburan Islam Parit Panjang, Baling pagi tadi.
Kira-kira 5,000 orang hadir untuk memberi penghormatan akhir kepada Allahyarham termasuk menunaikan solat jenazah.
Menurut anak sulung Allahyarham, Hamdan Dziauddin, 50, arwah bapanya itu selamat dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Terima kasih yang hadir memberikan penghormatan terakhir dan solat jenazah. Ribuan yang hadir, mungkin lebih 5,000 orang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Allahyarham Abdul Wahab yang terkenal dengan pengajian tasawuf itu meninggal dunia di rumahnya di Parit Panjang pada pukul 3.05 petang semalam akibat sakit tua setelah lebih sebulan menerima rawatan di Hospital Baling.
Mengulas lanjut kata Hamdan selaku Mudir Madrasah Tahzib An Nufus yang dibina Allahyarham itu, ketika hayatnya arwah bapanya itu selalu berpesan agar terus bersemangat untuk berjihad ke jalan Allah.
“Arwah selalu berpesan teruskan berdakwah dan berjihad. Belajar ilmu agama jangan sesekali tinggal, itu sahaja bekal yang kita bawa ke akhirat nanti,” katanya.
Jenazah Allahyarham Tok Guru Awang Lanai diziarahi ramai alim ulama dan orang kenamaan sejak semalam, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Allahyarham dilahirkan di Sik pada 28 Julai 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu Kampung Tupai Sik sebelum menuntut ilmu agama dari banyak pondok dan tok guru terkenal termasuk Pondok Lanai dan Pondok Penanti.
Antara ulama yang pernah menjadi guru Allahyarham ialah, Tok Guru Omar Zuhdi dan Tok Guru Mutholib Puteh.
Tok Guru Awang Lanai membuka madrasah sendiri yang kini diuruskan anak-anaknya di Parit Panjang pada 1988 yang kini melahirkan ramai agamawan dan hafiz. – KOSMO! ONLINE