fbpx

UM, BioApps reka khas topeng untuk Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal mengenakan topeng hasil rekaan UM dan BioApps ketika beraksi dalam salah satu perlawanaan sebelum ini. - Foto FB FAISAL HALIM

PETALING JAYA – Universiti Malaya (UM) memaklumkan topeng muka yang dipakai pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim semasa sesi pemanas badan pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lepas hasil rekaan universiti terbabit.

Dalam satu kenyataan, UM berkata topeng itu rekaan khas oleh sekumpulan penyelidik hasil kajian melalui BioApps Sdn. Bhd. berdasarkan nasihat daripada Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

Jelasnya, BioApps adalah syarikat spin-off UM yang ditubuhkan di bawah Centre for Applied Biomechanics (CAB), Fakulti Kejuruteraan dan kini menyediakan perkhidmatan prostetik dan ortotik tunggal untuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Antara penyelidik terlibat dalam penghasilan topeng muka berkenaan termasuklah Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman yang juga pakar penyelidik biomekanik dan rekabentuk prostetik.

“Penghasilan topeng muka khas ini adalah satu strategi utama UM untuk memasyarakatkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan universiti,” katanya.

Tambah kenyataan itu, BioApps berjaya menghasilkan topeng berkenaan selepas menerima rekomendasi daripada pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan.

Dalam pada itu, Pakar Prostetik dan Ortotik BioApps, Muhammad Hazim Kamaruzaman berkata topeng tersebut diperbuat daripada bahan ‘carbon fibre’.

Jelasnya, bahan itu lebih ringan dan nipis supaya memberi keselesaan kepada Faisal untuk kembali beraksi di padang selain melindungi saraf dan luka pemain itu yang masih belum pulih.

“Topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir,” katanya.

Sementara itu, Faisal dalam kenyataan sama mengakui topeng muka khas itu membantu melindungi parut muka beliau semasa menjalani latihan dan perlawanan.

“Saya rasa kembali normal dan selesa untuk beraksi di padang. Mungkin pada pandangan masyarakat, pemakaian topeng muka tersebut agak janggal tetapi saya memerlukannya sehingga luka dan parut muka saya kembali pulih,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI