PETALING JAYA – Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir kerana sudi meraikan ulang tahun kelahirannya, semalam.
Lebih menggembirakan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila majlis tersebut dirai pada konsert seniman tersebut yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Memenuhi jemputan ke Axiata Arena malam tadi untuk menghadiri Konsert Cipta bagi menikmati suara emas dan mahakarya seniman ulung Dato’ M. Nasir.
“Terima kasih juga atas kesudian meraikan ulang tahun kelahiran saya,” tulis Anwar di laman Facebooknya.
Pada hantaran sama, Anwar turut meluahkan rasa kagum dengan kehebatan suara M.Nasir ketika melantunkan lagu-lagu ciptaannya.
“Saya terkesan tatkala beliau menyampaikan lagu tribut buat perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Konsert Dato’ M.N45ir Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam berjaya menghimpunkan lebih 8,000 penonton.
Konsert bersempena keraian 45 tahun pengkaryaan lelaki bergelar sifu muzik itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Lebih menyentuh perasaan, M. Nasir, 66, sempat mengucapkan serta menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir buat Perdana Menteri yang menyambut usia 77 tahun, semalam.
Selain ucapan dan nyanyian lagu Allah Selamatkan Kamu, Anwar turut dihadiahkan hidangan pulut kuning daripada pihak produksi Konsert Dato’ M.N45ir Cipta yang ditunjangi Icon Entertainment. – KOSMO! ONLINE