fbpx

Tentera Ukraine mara makin jauh di wilayah Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH kediaman di bandar Sudzha, wilayah Kursk rosak akibat bedilan tentera Ukraine pada 6 Ogos lalu. – AFP

MOSCOW – Kementerian Kecemasan Russia mengisytiharkan darurat ‘peringkat persekutuan’ kelmarin, empat hari selepas beribu-ribu askar Ukraine menyeberangi sempadan dalam serangan terbesar Kyiv di bumi Rusia sejak perang bermula, lapor laman berita Euro News.

Setakat ini, tidak banyak maklumat boleh dipercayai tentang operasi tentera Ukraine itu yang didedahkan, manakala matlamat strategiknya juga tidak jelas.

Pegawai-pegawai Ukraine enggan mengulas secara khusus mengenai pencerobohan itu, yang berlaku kira-kira 500 kilometer ke barat daya Moscow.

Bagaimanapun, Myhailo Podolyak yang merupakan penasihat kanan Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata, serangan rentas sempadan itu akan memaksa Kremlin menyedari bahawa perang ‘perlahan-lahan menjalar’ ke dalam wilayah Russia.

Podolyak turut membayangkan bahawa operasi tentera itu akan memberikan kelebihan kepada Kyiv sekiranya berlaku rundingan dengan Moscow.

Pemangku gabenor Kursk di Russia, Alexei Smirnov berkata dalam aplikasi Telegram bahawa situasi di wilayah berkenaan masih sukar.

Perkhidmatan sosial dan persatuan masyarakat tempatan menyediakan bantuan kepada orang ramai yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat pertempuran, katanya.

Russia mengisytiharkan darurat peringkat persekutuan apabila terdapat lebih daripada 500 mangsa atau kerosakan bernilai melebihi 500 juta rubel (RM26 juta). Angka terakhir diberikan Russia untuk pemindahan dari Kursk ialah 3,000 orang.

Serangan itu berlaku ketika tentera Kyiv bergelut untuk menangkis kemaraan tentera Russia di barisan hadapan di timur Ukraine, terutamanya di wilayah Donetsk.

Presiden Russia, Vladimir Putin telah menjelaskan bahawa beliau mahu menawan kawasan di Donetsk yang belum diduduki oleh tentera Kremlin.

Kumpulan pemikir berpangkalan di Washington, Institut Kajian Perang(ISW) berkata, tentera Ukraine telah meneruskan ‘kemajuan pesat’ dengan mara lebih jauh ke dalam wilayah Kursk, dilaporkan mencecah jarak 35 kilometer dari sempadan.

“Ketiadaan tindak balas Russia yang koheren terhadap pencerobohan Ukraine di Kursk dan kadar kemaraan yang dilaporkan menunjukkan tentera Ukraine dapat mencapai kejutan operasi,” kata ISW Khamis lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan kelmarin bahawa tentera Kremlin terus menangkis pencerobohan Kyiv dengan melancarkan serangan udara disusuli bedilan artileri di darat.

Ukraine juga mengekalkan strateginya untuk menyerang kawasan lebih jauh di hadapan dengan menggunakan serangan dron, menyasarkan lokasi tentera, kilang penapisan minyak dan infrastruktur lain.

Dron Ukraine menyerang wilayah Lipetsk di Russia yang terletak kira-kira 300 kilometer dari sempadan Ukraine, pada malam Khamis lalu, kata pihak berkuasa.

Kementerian kecemasan serantau di Lipetsk berkata, terdapat kebakaran di lapangan terbang tentera di mana pesawat pejuang termasuk MiG-29 dan Su-34 milik Russia ditempatkan.

Gabenor Lipetsk, Igor Artamonov berkata, beberapa infrastruktur elektrik telah rosak dan sembilan orang cedera dalam serangan itu.

Kementerian Pertahanan Rusia pula memberitahu bahawa 75 dron Ukraine ditembak jatuh pada waktu malam, 19 daripadanya di ruang udara Lipetsk. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI