SHAH ALAM – Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) menjadi fokus utama dalam perancangan terdekat bagi memeta Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd. Noor Shahudin berkata, matlamat tersebut jelas bagi memastikan politeknik dan kolej komuniti berkualiti, inklusif dan saksama.
Katanya, fokus turut ditekankan kepada penawaran Micro-Credentials dan penubuhan pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
“Tambahan pula, berdasarkan penawaran Unit Pusat Universiti (UPU) 2024/2025 menunjukkan hampir 32,000 pelajar baharu telah diterima untuk mendaftar pada sesi kemasukan kali ini. Jumlah itu merupakan sejarah besar buat jabatan ini.
“Malah, penyertaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di politeknik dan kolej komuniti sehingga kini adalah seramai 3 juta dengan setiap tahun berjaya mencapai sasaran penyertaan hampir 200,000,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen PSA ke-25, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut akan memastikan semua program ditawarkan di 36 buah politeknik dan 106 kolej komuniti mendapat akreditasi dan pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) dan Majlis Akreditasi Teknologi Kejuteraan (ETAC).
Tambah Mohd. Noor, politeknik juga telah mendapat pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Platinum dari Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).
Selain itu, politeknik turut menjadi institusi pertama diberi kelulusan menggunakan logo International Engineering Alliance (IEA) – Sydney Accord dan Dublin Accord oleh Lembaga Jurutera Malaysia bagi sijil kejuruteraan, baru-baru ini.
“Justeru, kita telah mendapat peruntukan sebanyak RM48 juta bagi projek baik pulih fasiliti usang dan RM16.7 juta untuk naiktaraf kelajuan internet yang dijangka siap hujung tahun ini bagi kemudahan pendidikan berkualiti di kalangan para pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah PSA, Zainah Rujihan memaklumkan seramai 43,572 graduan pelbagai bidang berjaya dilahirkan sejak penubuhan PSA pada tahun 1997.
“Konvokesyen kali ini akan melibatkan 833 graduan dengan tujuh daripadanya adalah graduan tehcno-huffaz selain 12 Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pendengaran bagi Sijil Kemahiran Penyelenggaran Mekanikal.
“PSA turut memperkenalkan Anugerah Jubli Perak buat pertama kalimya kepada alumni yang telah menempa kejayaan dalam bidang diceburinya,” katanya. -KOSMO!ONLINE