PETALING JAYA – Sungai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor dilaporkan melepasi paras amaran ekoran hujan lebat sejak pagi tadi.
Menerusi laman sesawang info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat pukul 2.15 petang ini, keadaan sungai tersebut menunjukkan trend meningkat.
Ia melibatkan Sungai Midah di Stesen Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban yang merekodkan peningkatan kepada 30.41 meter (m) berbanding paras normal iaitu 29 m.
Selain itu, Sungai Klang di Stesen Pekan Meru, Selangor mencatatkan 3.94 m berbanding 2.80 m melebihi paras amaran.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengemas kini amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan tujuh negeri sehingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam laporannya berkata, cuaca buruk itu membabitkan seluruh WPKL, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta beberapa kawasan di Johor, Selangor, Pahang dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE