PETALING JAYA – Kejayaan atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam melayakkan diri ke suku akhir acara keirin lelaki di Olimpik Paris 2024 bukan sahaja mengundang sebak, malah memberi sinar harapan buat seluruh rakyat Malaysia.
Ini kerana atlet berusia 28 tahun itu berjaya mengungguli pusingan ‘repechages’ di tempat pertama sekali gus menempah slot ke suku akhir acara tersebut.
Tinjauan Kosmo! di media sosial, nama ‘Shah Firdaus’ kekal trending di aplikasi X dengan lebih 39,000 ciapan mengenai perlumbaan hebatnya di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Paris.
Ramai yang terpegun melihat kehebatan prestasi luar biasa Shah Firdaus sekali gus menyifatkan perlumbaan tersebut merupakan detik yang sangat mendebarkan seluruh rakyat Malaysia.
“Terima kasih Shah! Berdebar-debar ya lihat Shah kena kepung tadi (awal pagi). Pecutan terakhir Shah tu sangat hebat. Ayuh Shah, ambil semangat Datuk Jijoe untuk ke peringkat akhir,” komen Feera.
“Nak menangis tengok perlawanan Shah Firdaus. Semangat betul dia memang lain macam,” komen Norulkhila.
“Sebak dengar pengulas ni kata ‘Shah Firdaus meletakkan Datuk Azizul di dadanya. Semangat itu diletakkan. Kayuhan itu dilakukan’. Emosi terus sambil tahan sebak. Selamat berjuang Shah Firdaus,” komen Ree Zha.
Dalam pada itu, ramai juga rakyat Malaysia menzahirkan harapan agar Shah Firdaus menjadi atlet pertama yang membawa pingat emas untuk Malaysia bagi Olimpik Paris 2024 kali ini.
“Kenapa tiba-tiba rasa macam Shah Firdaus boleh jadi orang pertama yang bawa pingat emas Olimpik Paris untuk Malaysia,” ciap Wan Afiq.
“Mungkin seluruh negara mahukan Azizulhasni memenangi emas untuk Malaysia, barangkali takdir telah tertulis Shah Firdaus adalah pemenang emas pertama negara,” ciap Fadli pula.
Terdahulu, Shah Firdaus terpaksa beraksi di pusingan ‘repechages’ apabila menamatkan saringan kelima pada kedudukan ketiga di belakang pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul serta pelumba Poland, Mateusz Rudyk.
Shah Firdaus merupakan satu-satunya atlet berbasikal negara yang diharapkan selepas penyertaan Datuk Azizulhasni Awang dibatalkan serta disingkirkan seawal saringan pertama acara keirin lelaki kerana dikesan melebihi pacer.
Shah Firdaus dijadualkan berentap di pusingan suku akhir acara keirin lelaki yang berlangsung Ahad jam 5.29 petang (waktu tempatan) dan jika layak perlawanan separuh akhir seterusnya akan berlangsung pada 6.29 petang. – KOSMO! ONLINE