PETALING JAYA – Jabatan Penjara akan memperluaskan sistem anti dron dan pemintas teknologi ke seluruh institusi penjara di negara ini.
Menerusi satu kenyataan, jabatan itu berkata, langkah tersebut diambil ekoran ancaman pencerobohan dron bagi tujuan penyeludupan artikel larangan ke dalam penjara oleh orang awam.
Jelasnya, perlaksaan sistem itu dilakukan menerusi kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Jabatan ini sentiasa bersiap siaga dan institusi-institusi penjara berisiko termasuk Penjara Tapah telah dilengkapi dengan sistem anti dron dan peralatan pemintas bagi mencegah perkara ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Jabatan Penjara juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti penubuhan ‘task force’ bagi mengekang ancaman pencerobohan itu dari semasa ke semasa.
Malah, pihaknya akan terus komited dalam memastikan keselamatan penghuni serta komuniti terjamin dari pelbagai jenis ancaman yang boleh memudaratkan.
Kosmo! semalam melaporkan, taktik licik pengedar dadah cuba menyeludup bahan terlarang itu dengan menggunakan dron ke Penjara Tapah gagal selepas peralatan itu ditemui.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada sarjan penjara mengenai penemuan dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman Penjara Tapah semasa membuat rondaan bersama rakan setugas.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut pada beg yang digantung pada dron tersebut telah menemukan satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram serta dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram. – KOSMO! ONLINE