IMPIAN penerjun harapan negara, Nur Dhabitah Sabri menaiki podium pertamanya di pentas Sukan Olimpik tidak kesampaian pada edisi Paris kali ini apabila menamatkan final tiga meter (m) papan anjal individu di kedudukan ke-12 di Pusat Akuatik Paris kelmarin.
Atlet berusia 25 tahun itu berada pada landasan tepat untuk merealisasikan impian berkenaan apabila berada di tempat ketiga selepas dua pusingan sebelum segala-galanya musnah disebabkan kesilapan yang dilakukannya dalam baki tiga terjunan seterusnya.
Namun, pemenang pingat perak 10m platform seirama Kejohanan Dunia 2022 itu boleh berbangga dengan pencapaiannya di Paris selepas pernah terlintas mahu berputus asa kerana gagal layak secara merit sebelum diberi tiket wildcard pada saat-saat akhir dan terpaksa bertarung dengan waktu latihan yang singkat.
Dhabitah menyedari ia bukanlah aksi terbaiknya di pentas final kelmarin berbanding prestasi ditunjukkan ketika meraih tempat keempat 3m papan anjal individu edisi Tokyo 2020 atau pun kedudukan kelima bersama Cheong Jun Hoong untuk 3m papan anjal seirama di Rio 2016.
Kenyataannya mahu berehat selepas ini seakan memberi bayangan persaraan dan jika benar, terima kasih Dhabitah kerana tidak menyerah kalah dan memberikan aksi terbaik menggalas harapan kontinjen Malaysia sebagai penerjun tunggal wanita di pentas Olimpik buat kali pertama sejak Datuk Leong Mun Yee pada edisi 2004 di Athens, Greece.