SUNGAI PETANI – Wanita yang ditolak ke dalam gaung dalam kejadian berhampiran Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 27 Julai lalu, nekad merangkak naik selepas terbayangkan wajah dua anaknya yang masih kecil.
Perkara itu diceritakan oleh Ketua Operasi Ambulans Murtadha Dakwah Centra Madad, Muhammad Ridzuan Osman, 36, yang bertemu dengan wanita itu sewaktu menghantarnya pulang ke kampung di Kelantan selepas dibenarkan keluar dari Hospital Taiping, semalam.
Menurut Ridzuan, mangsa mengalami kecederaan tulang belakang patah, pecah dan retak, pinggang patah, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa telah ditolak jatuh ke dalam gaung kira-kira pukul 5 pagi, namun nekad merangkak naik sejauh kira-kira 10 meter selama sembilan jam selepas terbayangkan wajah dua anaknya yang berusia lima bulan dan enam tahun itu.
“Disebabkan ingat anak-anak yang masih kecil mangsa gagahkan diri juga untuk selamatkan diri. Mangsa berjaya sampai di atas pada pukul 2 petang dan minta bantuan orang ramai,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Muhammad Rizuan lagi, mangsa memberitahu bahawa sewaktu kejadian dua anaknya itu turut berada di dalam kereta bersamanya.
“Mangsa memberitahu dia sudah tidak ingat apa-apa semasa itu melainkan dia cuma nampak muka anak-anak sahaja” katanya.
Terdahulu, sehari sebelum kejadian mangsa yang berusia 32 tahun itu dibawa suaminya yang berusia 39 tahun sekitar pukul 5.30 petang ke Perak dari tempat kerja di Kuala Lumpur atas alasan mahu pulang ke kampung.
Difahamkan sepanjang perjalanan, berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan suspek bertindak menolak mangsa ke dalam gaung.
Suspek kini direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu sehingga Isnin (esok) bagi disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE