PUTRAJAYA – Malaysia terus menyeru sekutu-sekutu Israel agar memaksa rejim Zionis itu segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Wisma Putra berkata, seruan itu termasuk menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid diteruskan.
Katanya, tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal serta memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin.
“Rejim Zionis perlu dibawa ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan.
“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai lalu. Masa untuk bertindak adalah sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kekejaman Israel semakin menggila apabila rejim zionis itu terus melakukan serangan biadab terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza semalam sehingga meragut nyawa lebih 100 rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut.
Serangan itu telah mengorbankan ramai kanak-kanak, dan berkemungkinan ramai yang cedera parah bakal kehilangan nyawa akibat kekurangan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.
Kementerian Luar menegaskan, serangan yang disengajakan terhadap sekolah yang dijadikan tempat perlindungan oleh rakyat Palestin bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, tetapi satu juga jenayah kemanusiaan.
“Rejim Israel sekali lagi jelas menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian.
“Adalah amat tidak berperikemanusiaan bagi masyarakat antarabangsa untuk hanya berpeluk tubuh sementara tentera kependudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman,” katanya. – KOSMO! ONLINE