KUALA LUMPUR – Kuching City FC terus mncuri perhatian apabila pamer kebangkitan untuk mengikat Penang FC 2-2 pada aksi di Stadium Negeri, petang tadi.
Keputusan itu memastikan kelab Sarawak itu kekal tanpa kalah dalam empat aksi terakhir Liga Super.
Pada perlawanan kali ini, aksi seakan lebih berpihak kepada Penang FC yang memperoleh dua gol pantas di hujung babak pertama menerusi Joao Ferreira de Oliviera Neto pada minit ke-38 sebelum Rodrigo Dias mengukuhkan kedudukan, empat minit selepas itu.
Hanya 14 minit selepas aksi bersambung, Jimmy Raymond yang sering beraksi cemerlang dalam perlawanan terdahulu sekali lagi mencuri perhatian apabila mencipta umpanan buat Zahrul Nizwan Joe Kifli menghasilkan gol pertama tuan rumah.
Kesilapan penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-78 yang gagal menepis dengan lebih baik sepakan percuma Mohamad Alif Hassan membuka ruang buat Tchetche Kipre melakukan tindakan susulan sekaligus menghasilkan jaringan penyamaan Kuching City FC.
Ketika ini, selepas harungi lapan perlawanan The Cats berada di tangga kelima Liga Super dengan 11 mata dan selepas ini dijadualkan menentang pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE