fbpx

Kontraktor tempatan dipilih bangunkan Kampung Angkat Madani di Kapit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika mengadakan lawatan ke Perkampung Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song, Sarawak yang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani, baru-baru ini. Foto IHSAN KKR

PETALING JAYA – Kerja-kerja menaik taraf Perkampungan Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song, Sarawak sebagai Kampung Angkat Madani (KAM) akan bermula selepas dua kontraktor telah dipilih untuk mengendalikan projek terbabit.

Memaklumkan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta berkata, kedua-dua kontraktor yang dipilih iaitu Syarikat Bumi Mas dan Syarikat Smartech Resources adalah merupakan syarikat tempatan yang berpangkalan di daerah Kapit, Sarawak.

“Kedua-dua syarikat ini akan membangunkan lima projek fizikal yang merangkumi pembinaan jambatan pejalan kaki, pemasangan lampu solar, menaik taraf pondok menunggu di jeti danmenaik taraf laluan pejalan kaki yang menghubungkan tiga rumah panjang.

“Projek ini dijangka bermula pada bulan ini dan akan mengambil masa sekurang- kurangnya 12 bulan untuk disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Alexander berkata, perkampungan Nanga Engkuah, Ulu Katibas adalah perkampungan rumah panjang di kawasan pedalaman terletak lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song.

Jelasnya, kampung itu hanya boleh diakses melalui jalan sungai yang mengambil masa tiga jam dari Pekan Song bergantung kepada cuaca dan paras air.

“Terdapat tiga buah rumah panjang (RH) di kampung ini iaitu RH Assan, RH Radiah dan RH Albert Lajong dengan jumlah penduduk seramai 658 orang.

“Majoriti penduduk kampung adalah terdiri daripada etnik Iban. Kegiatan ekonomi tempatan penduduk kampung adalah bekerja di sektor awam dan swasta, penternakan kecil-kecilan dan perikanan,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan Nanga Engkuah, sebuah Klinik Kesihatan Nanga Engkuah dan sebuah Substesen Pertanian yang terletak tidak jauh dari kampung itu.

“Pelaksanaan projek ini akan membawa manfaat kepada penduduk kampung kerana keadaan jambatan sedia ada yang merupakan laluan penghubung di antara rumah panjang berada di dalam keadaan usang.

“Selain daripada itu, pemasangan lampu jalan amat diperlukan oleh penduduk kampung kerana kampung tersebut tidak mempunyai lampu jalan untuk menerangi kawasan kampung pada waktu malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI