PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan semangat kepada Datuk Azizulhasni Awang selepas jaguh trek berbasikal negara itu tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Menerusi satu ciapan di aplikasi X, Anwar berkata, Azizulhasni atau lebih popular dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ adalah permata negara.
“Kamu tetap permata negara,” tulisnya.
Ciapan Perdana Menteri itu turut mendapat reaksi positif dalam kalangan pengguna aplikasi X yang turut meninggalkan semangat kepada lagenda negara itu.
“Terima kasih untuk perjalanan karier yg hebat dato @AzizulAWANG. Semangat yang luar biasa harus dijadikan contoh atlet lain,”ciap @_fatheema.
Turut meninggalkan ciapan balas adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Cu_Lalaz.
“Tetap The Pocket Rocketman kita,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan Azizulhasni tersingkir daripada saringan pertama acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas penyertaannya dibatalkan.
Pada aksi yang berlangsung di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Paris, bekas juara dunia itu dibatalkan penyertaan dalam saringan pertama selepas dia didakwa melintas pacer terlalu awal. – KOSMO! ONLINE