fbpx

Ibu menangis terima diploma anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosaini bersama anak (abang Allahyarham) dan suaminya selepas menerima skrol diploma arwah pada konvokesyen itu di PSA Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang ibu mengalirkan air mata selepas menerima diploma arwah anak lelakinya pada Konvokesyen Politeknik Banting Selangor (PBS) ke-13, hari ini.

Rosiani Moksinon, 45, hadir di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini, bagi pihak Allahyarham Muhammad Fakhrul Ar Razzi Nor Azmi, 21, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Banting pada 16 November tahun lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Ketua Operasi Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES), Eke Nazri Rahim.

Menurut Rosiani, arwah tidak menunjukkan perubahan ketara kecuali sempat membersihkan biliknya dengan kemas pada pagi kejadian di Kampung Sungai Kelambu, Banting itu.

“Arwah merupakan anak yang taat, rajin solat dan suka membantu keluarga serta penduduk kampung tanpa meminta balasan.

“Pemergian arwah masih amat dirasai sehingga saya terpaksa meminta abangnya (Muhammad Nur Khairi, 22) naik ke pentas untuk mengambil skrol,” katanya sebak ketika ditemani suaminya, Azmi Tushan, 49.

Seramai 337 graduan menerima diploma masing-masing iaitu 82 orang dalam Penyenggaraan Pesawat, Kejuruteraan Mekanikal (194) dan Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) (61).

Sementara itu, Pengarah PBS, Ibrahim Burhan berkata, kebolehpasaran graduan politeknik berkenaan mencecah 96 peratus pada tahun lalu seterusnya membuktikan mendapat permintaan tinggi di pasaran industri tempatan.

Ujarnya, konvokesyen kali ini menampilkan kelainan kerana julung kali Anugerah Pengarah diberikan kepada dua pelajar berbanding hanya seorang, sebelum ini.

“Kita turut menzahirkan takziah kepada keluarga dua pelajar PBS iaitu mendiang R. Panthalaraasan dan S. Dinesh Raj yang berusia 22 tahun apabila maut ketika dalam perjalanan menghadiri taklimat graduan dan raptai konvokesyen ke politeknik ini, semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI