AYER KEROH – Empat termasuk dua pegawai tertinggi sebuah jabatan kerajaan negeri direman kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM200,000.
Tuntutan itu berkaitan kerja menaik taraf kemudahan sukan dan membina pondok pengawal di jabatan tersebut.
Tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 60-an direman tiga hari sehingga Selasa manakala satu hari terhadap suspek wanita berusia 30-an.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rafidah Che Aziz setelah permohonan di buat SPRM di Mahkamah Ayer Keroh pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara kira-kira pukul 11 pagi hingga 1 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka, semalam.
“Siasatan awal mendapati dua pengarah syarikat terbabit bersubahat dengan dua pegawai tertinggi ini dalam membuat tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan dan kerja-kerja membina pondok pengawal di jabatan tersebut berjumlah kira-kira RM200,000 yang mana kedua-dua kerja tersebut telah dibina tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.-KOSMO! ONLINE.