SINGAPURA – Kebakaran yang berlaku di sebuah unit pangsapuri di Clementi West Street 2 pada malam Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada pengecasan bateri basikal elektrik di bilik tidur, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) seperti laporan laman berita Stomp.
Menurut SCDF, ia mendapat maklumat mengenai kebakaran pada kira-kira pukul 7.45 malam (waktu tempatan), Khamis lalu.
Penghuni-penghuni rumah itu sempat melarikan diri sebelum SCDF tiba.
Polis dan agensi tersebut bagaimanapun turut memindahkan kira-kira 35 orang dari pangsapuri itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Api berjaya dipadamkan dengan menggunakan pancutan air di tingkat paling atas pangsapuri tersebut.
Siasatan awal mendapati bahawa kebakaran dipercayai berpunca daripada pek bateri basikal elektrik yang sedang dicas di dalam bilik tidur, tambah SCDF. – AGENSI