fbpx

Bruno Suzuki muncul wira PDRM FC atasi Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN PDRM FC, meraikan gol dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban hari ini.-Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

SEREMBAN – Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) terus dirundung malang apabila tewas di gelanggang sendiri kepada PDRM FC dengan keputusan 1-2, dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

Pasukan pelawat pada mulanya hampir mendahului pada minit ke-19 namun sepakan penyerang PDRM FC, Ifedayo Olusegun hanya terkena tiang gol NSFC.

Ketika kedua-dua pasukan tampak gagal menemui jaringan di penghujung separuh masa pertama, NSFC mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-45.

Gol berpunca daripada tindakan ketua pasukan PDRM FC, Faith Friday yang mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti.

Namun bola sampai di kaki pemain tengah NSFC, R. Barathkumar yang melakukan sepakan deras masuk ke gawang pasukan pelawat.

Bangkit daripada ketinggalan, PDRM FC menggandakan asakan sebaik tiupan wisel separuh masa kedua.

Hasilnya, pasukan Sang Saka Biru itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 perlawanan.

Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang melakukan larian ke pintu gol NSFC gagal dihalang oleh pertahanan lawan hingga membolehkan penyerang PDRM FC itu menjaring gol penyamaan.

PDRM FC yang telah mendapat rentak perlawanan mendahului dengan gol kedua pada minit ke-57.

Penyerang import, Bruno Junichi Suzuki menolak masuk bola yang muntah daripada tangkapan penjaga gol NFSC, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Tuan rumah cuba mencari gol penyamaan namun sehingga tamat perlawanan keputusan kekal memihak PDRM FC dengan keputusan 2-1.

Selepas masing-masing mengharungi tujuh perlawanan, PDRM kini mengutip lapan hasil dua kemenangan dan dua kali seri manakala NSFC kekal dengan tiga mata hasil satu keputusan kemenangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI