PETALING JAYA – Penyertaan jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dibatalkan dalam acara keirin Olimpik Paris 2024, mengundang rasa sedih buat seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikannya malam tadi.
Ini kerana Azizul atau lebih dikenali dengan jolokan ‘The Pocket Rocket Man’ dikesan melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya dibatalkan serta disingkirkan daripada saingan.
Keputusan yang dibuat panel komisar itu bukan sahaja mendatangkan rasa sebak malah seluruh rakyat Malaysia terkejut kerana tidak dapat melihat Azizul beraksi di acara tersebut.
Bagaimanapun, ramai yang memberikan kata-kata semangat dan positif kepada Azizul atau mesra disapa Datuk Jijoe dengan menyatakan kebanggaan terhadap atlet itu untuk bersaing di mata dunia.
“Anda sudah buat yang terbaik Azizulhasni Awang. Anda sentiasa jadi kami punya The Pocket Rocket Man,” ciap Liyana.
“Banjir malam ni tengok Datuk Jijoe disingkirkan. Tak apa Datuk, anda sudah buat yang terbaik. Kami bangga dengan anda,” komen Mai.
“Jadi positif semua. Mungkin Allah nak jaga jantung Datuk Jijoe sebab tu dia disingkirkan malam tadi. Tak apa Datuk, kami masih bangga dengan anda. Ini tidak mendefinisikan seluruh penat lelah kamu,” komen Orked pula.
“Terima kasih Datuk Azizul atas segala penat lelah, usaha, dan pengorbanan selama ini demi mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” Nurulhana.
Pada aksi yang berlangsung malam tadi, ramai yang berharap agar Azizul layak ke pusingan repeatcharge, namun tidak berjaya walaupun jurulatih, John Beasley dan Pengurus Pasukan, Izham Mohammad cuba untuk berbincang dengan panel komisar.
Acara yang berlangsung di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Paris itu menyaksikan pelumba Australia, Matthew Glaetzer dan Jeffrey Hoogland mara ke pusingan suku akhir selepas masing-masing menamatkan aksi saringan pertama itu di kedudukan pertama dan kedua. – KOSMO! ONLINE