fbpx

Wartawan ada hak untuk laporkan, polis ada hak menyiasat – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Pusat Komuniti Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap portal Malaysiakini dianggap tidak kontradiksi atau bertentangan dengan hak wartawan dalam buat laporan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia berhubung siasatan mengenai berita pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diterbitkan portal berkenaan baru-baru ini.

Ujarnya, wartawan harus memberikan kerjasama sekiranya dipanggil kerana polis hanya menjalankan tugasnya apabila menerima laporan.

“Kalau kita rujuk kod etika kewartawanan yang diterbitkan, memang kita beri penegasan bahawa wartawan mempunyai hak untuk kerahsiaan.

“Tapi dalam masa yang sama, saya telah sebut sebelum ini, wartawan perlu berikan kerjasama kepada pihak polis kerana dari segi peraturan sekiranya ada laporan, mereka (polis) perlu melakukan siasatan.

“Wartawan ada hak untuk laporkan, polis ada hak untuk menyiasat. Tindakan polis memanggil wartawan Malaysiakini bukanlah satu perkara yang kontrakdisi dengan hak kewartawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Tambah Fahmi, seseorang wartawan yang membuat laporan dan menggunakan sumber juga seharusnya yakin dan berpendirian teguh walaupun dipanggil oleh pihak berkuasa.

“Bila awak (wartawan) buat laporan, awak perlu yakin dengan sumber sendiri. Bila ditanya, maka jawab, tidak menjadi isu,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini mendakwa Bukit Aman dikatakan merancang rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan tertingginya.

Antara pegawai yang terlibat dalam rombakan itu dikatakan ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam pada itu, apabila bertanyakan jika ia akan memberi kesan buruk kepada Indeks Kebebasan Media Dunia, Fahmi berkata, laporan yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku di dalam negara.

Jelasnya, sekiranya ada negara-negara lain yang menunjukkan kemajuan, sudah pasti akan ada negara yang turun beberapa anak tangga termasuklah Malaysia.

“Sebenarnya dalam kalangan ahli RSF juga ada yang tak setuju dengan ‘ranking’ dikeluarkan sebab ia tak menggambarkan situasi sebenar berlaku dalam negara.

“Kita juga telah melakukan beberapa teguran kepada RSF setiap tahun dari segi Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Saya ingin tekankan, ‘ranking’ ini bukan berdasarkan prestasi negara kita sahaja tetapi perkiraan negara-negara lain juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI