BARU-BARU ini, kecoh kisah pelakon Aliff Aziz yang kembali menyertai aktiviti keagamaan bersama jemaah tabligh apabila seorang pendakwah bebas, Ustaz Taufik memuat naik foto-foto dan video selebriti asal Singapura itu.
Ini bukan kali pertama Aliff menyertai jemaah tabligh selepas terpalit dalam kontroversi dan sensasi kehidupan penuh glamornya.
Sekitar 2021, bekas suami Bella Astillah pernah menyertai aktiviti aktiviti keagamaan sebegitu selepas terikut dengan kecenderungan selebriti lain ketika itu.
HibGlam minggu ni merangkumkan beberapa selebriti yang pernah mengikuti program keagamaan seperti menyertai jemaah tabligh yang rata-ratanya rancak sekitar 2021.
Nabil Ahmad
SIAPA yang tidak kenal dengan pelawak Nabil Ahmad yang cukup dikenali dengan jenaka spontannya sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi.
Tidak sangka lelaki berusia 40 tahun itu pernah keluar mengikuti aktiviti tabligh selama tiga hari buat pertama kali dalam hidupnya sekitar 2021.
Sebak berkongsi pengalaman, pengacara popular itu baru mengetahui indahnya suasana ibadah dan kesal tidak berbuat demikian lebih awal.
Selepas menyertai tabligh, ilmu agama yang ditimba ketika itu turut dikongsi bersama isterinya, Zira Ayub yang kini sudah pun bertudung.
Anuar Zain
PADA 2021, penyanyi lelaki ikonik, Anuar Zain turut mengikuti jejak langkah beberapa selebriti lelaki tanah air yang lain apabila dilihat ada mendekati dan mendalami ilmu agama dengan cara menyertai aktiviti tabligh.
Perkara tersebut mula menjadi bualan apabila tular sebuah video TikTok memaparkan pelantun lagu Sedetik Lebih itu menyertai jemaah tabligh bersama Nabil Ahmad.
Difahamkan, kali terakhir pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain, 54, membabitkan diri dalam aktiviti dakwah adalah pada tahun lalu.
Anuar juga menyimpan niat ingin mengerjakan solat tarawih di seberapa banyak masjid mengikut kemampuannya sepanjang bulan Ramadan tahun lalu.
MK
KALAU sebut sahaja MK pasti ramai yang terfikir mengenai kerjaya rap dengan gaya pemakaian yang lebih ke arah artis luar negara.
Meskipun begitu, siapa sangka pemilik nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan juga pernah menyertai aktiviti tabligh pada 2021.
Difahamkan, MK juga pernah berkampung di Jerantut, Pahang selama tiga hari bagi mendalami ilmu agama. MK kemudian tidak lagi memakai perhiasan barang kemas seperti emas selepas mula mendekati agama.
Shuk Sahar
SAMA seperti Aliff Aziz, pelawak Shuk Sahar mula menyertai tabligh selepas namanya cukup sensasi dengan isu peribadi, termasuk isu kecurangan terhadap bekas isteri, Sera.
Pembabitan Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar dalam aktiviti keagamaan disedari selepas dia memuat naik gambar bersama seorang agamawan dikenali, Maulana Helmi.
Maulana Helmi merupakan individu popular dalam kalangan artis seperti Amar Asyraf dan Ali XPDC.
Amar Asyraf
BERUBAH mendadak! Itu yang berlaku kepada pelakon Amar Asyraf sejak menyertai kelas tabligh bermula Januari 2021 bersama beberapa rakan artis lain seperti Datuk Nash, Ali XPDC dan Hafiz Suip.
Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin berharap akan terus kekal istiqamah dan kini sudah tidak aktif lagi dalam bidang lakonan.
Sebelum aktif sebagai ahli perniagaan, anak kelahiran Melaka itu pernah mengeluarkan kenyataan mahu mengelak melakukan babak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita dalam kerja-kerja lakonan.