PETALING JAYA – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) melancarkan projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 15 Ogos ini.
Rapid Bus dalam kenyataannya berkata, lorong bas sepanjang 6.37 kilometer (km) itu bermula dari Jalan Puchong ke Jalan Klang Lama Off Jalan Halimahton.
Menurut Rapid Bus, projek lorong bas ketiga buat Rapid KL itu dijangka memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit dari Kinrara ke arah pusat bandar raya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij memberitahu, terdapat peningkatan penumpang sebanyak 27 dan 42 peratus sejak pelaksanaan lorong bas di Jalan Ampang dan Jalan Genting Kelang pada tahun lalu.
“Kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan bas,” katanya dalam kenyataan sama.
Projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama itu akan beroperasi dari pukul 6 hingga 9 pagi pada Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Lorong bas itu memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama.
Terdapat 42 buah bas daripada enam laluan iaitu 600 (Hab Puchong Utama-Hab Pasar Seni), 640 (Hab Seri Manja-Hab Pasar Seni), 650 (Taman Desa-Hab Pasar Seni) dan 641 (Pearl Point–LRT Subang Jaya).
Dua laluan lain adalah 651 (Pearl Point–LRT Muhibbah) dan 652 (Batu 3 Jalan Klang Lama, BHP–LRT Awan Besar).
Para penumpang yang menggunakan laluan-laluan tersebut tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja.
“Mereka boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan yang boleh mereka nikmati termasuk Hab Pasar Seni (menaiki LRT Laluan Kelana Jaya untuk ke Putra Heights atau Gombak).
“Selain itu boleh menaiki MRT Laluan Kajang untuk ke Kajang mahupun Kwasa Damansara, dengan menggunakan perkhidmatan bas GoKL atau LRT Subang Jaya dengan meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Gombak dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya.
“Pengguna juga boleh menaiki LRT Muhibbah / LRT Awan Besar dengan meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Sentul Timur dengan menaiki LRT Laluan Sri Petaling,” kata Rapid Bus.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta melayari laman web rasmi Rapid KL di pautan https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini. – KOSMO! ONLINE