MANCHESTER – Penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland mengakui sudah menemui sentuhan untuk merobek gawang seteru, Manchester United menjelang aksi pembuka tirai Perisai Komuniti di Stadium Wembley malam ini.
Sebagai rekod, Haaland telah mengharungi siri jelajah pramusim di Amerika Syarikat dengan cemerlang bersama The Citizens termasuk melakar jaringan hatrik ketika menewaskan Chelsea pada awal minggu ini.
Kini, penyerang antarabangsa Norway itu optimis dapat membantu pasukan memulakan kempen baharu dengan langkah kanan sekali gus menghadiahkan trofi pertama buat pasukan musim ini.
“Kita telah mengharungi siri jelajah pramusim hampir sebulan dan pasukan kini sudah kembali menjalani latihan di Manchester bersama rakan-rakan yang sebelum ini diberi cuti rehat tambahan.
“Secara jujur, saya puas hati dengan komitmen semua terutama pemain akademi kami yang membuktikan mereka juga mampu mengisi kekosongan tonggak utama selepas mempamerkan kualiti yang cukup hebat.
“Mengenai tahap prestasi saya, secara peribadi mungkin masih belum sempurna tetapi saya sudah mendapatkan rentak untuk menjaringkan gol. Harap momentum tersebut dapat diteruskan ketika bertemu United nanti,” katanya. – AGENSI