LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola terdesak untuk memastikan anak-anak buahnya dapat memulakan tirai musim baharu dengan langkah kanan menjelang perlawanan Perisai Komuniti menentang Manchester United di Stadium Wembley malam ini.
Menurut Guardiola, pasukannya tidak dapat mengharungi kempen pramusim seperti yang diharapkan memandangkan ramai pemain diberikan cuti rehat panjang selepas mewakili negara masing-masing pada kempen Euro 2024 dan Copa America bulan lalu.
Justeru, sebahagian besar barisan pemain yang dibawa ke siri jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini adalah tonggak akademi dengan bintang utama hanya melaporkan diri dalam kem latihan bermula awal minggu ini.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berharap situasi itu tidak akan memberi sebarang masalah buat pasukan dalam usaha memburu kemenangan ke atas The Red Devils kerana percaya barisan pemain masih memiliki mentaliti juara.
“Sekarang adalah masa untuk tampil serius kerana persiapan pramusim sudah pun berakhir. Fokus kini adalah untuk memulakan kempen tirai musim baharu dengan menjuarai trofi Perisai Komuniti nanti.
“Saya akui persiapan kali ini agak mencabar kerana kita kehilangan hampir 70 peratus pemain utama yang diberikan cuti rehat tambahan selepas menamatkan tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing.
“Secara jujur, saya langsung tidak risau atas situasi tersebut kerana kita sudah bersama hampir sembilan tahun dan pasti keserasian di atas padang akan kekal utuh meskipun mereka tidak menjalani pramusim pasukan sebelum ini.
“Apa yang penting, semua pemain tiba tanpa sebarang kecederaan serius selain cergas seratus peratus. Mereka juga perlu mempamerkan mentaliti juara jika berhasrat untuk menewaskan United nanti,” katanya.
Sementara itu, Guardiola turut menggesa agar spekulasi masa depannya dapat dihentikan apabila tirai musim baharu bermula selepas dikaitkan dengan kerusi ketua jurulatih skuad antarabangsa England sebelum ini.
“Kalau boleh saya tidak mahu lagi mendengar spekulasi luar kerana saya bahagia bersama City. Fokus saya adalah untuk bersama pasukan dalam usaha mencabar kejuaraan pada kempen musim baharu kali ini,” katanya. – AGENSI