KUALA LUMPUR – Konsert Dato’ M.N45ir Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil berjaya menghimpunkan lebih 8,000 penonton.
Konsert bersempena keraian 45 tahun pengkaryaan lelaki bergelar sifu muzik itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Lebih menyentuh perasaan, Datuk M. Nasir, 66, sempat mengucapkan serta menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir buat Perdana Menteri yang menyambut usia 77 tahun, hari ini (10 Ogos).
Selain ucapan dan nyanyian lagu Allah Selamatkan Kamu, Anwar turut dihadiahkan hidangan pulut kuning daripada pihak produksi Konsert Dato’ M.N45ir Cipta yang ditunjangi Icon Entertainment tersebut.
“Saya nak hadiah sebuah lagu yang ditujukan khas kepada seseorang iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya juga tak hadiahkan kek, tetapi pulut kuning,” katanya.
M. Nasir kemudian meneruskan persembahan dengan sebuah lagu bagi mengenangkan pemergian Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang meninggal dunia akibat serangan Zionis 31 Julai lalu.
Seiring judul Konsert Dato’ M.N45ir Cipta bermaksud karya, menerusi konsert berdurasi lebih dua jam tersebut, penyanyi juga komposer kelahiran Singapura itu menyampaikan hampir 30 buah lagu, termasuk karya popular ciptaannya yang dirakamkan penyanyi lain termasuk daripada Alleycat, Search, Rahim Maarof, Kristal dan ramai lagi.
Selain diiringi pemuzik profesional, M. Nasir, 66, turut mengundang maestro muzik Datuk Ramli MS menerusi lagu Hijab Kekasih. – KOSMO! ONLINE