AMPANG – Seorang remaja lelaki ditahan selepas melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap juniornya yang juga perempuan di sebuah rumah di Taman Keramat, di sini pada 25 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 16 tahun pada 30 Julai.
Katanya, mangsa dan suspek yang berusia 17 tahun belajar di sekolah sama.
“Pengadu yang merupakan pelajar tingkatan empat dibawa ke rumah suspek kira-kira pukul 2 petang, 25 Julai lepas.
“Suspek melakukan amang seksual terhadap mangsa ketika ketiadaan ibu bapanya di rumah.
“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada guru disiplin dan seterusnya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek berusia 17 tahun ditahan di sekitar Hulu Kelang, di sini pada pukul 9 malam semalam. Permohonan reman dibenarkan selama lima hari sehingga Khamis.
Kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 merujuk kepada amang seksual terhadap kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE