PARIS – Ratu lompat bergalah Kanada, Alysha Newman mengakui selesa menggunakan status selaku pempengaruh seksi di laman sosial mendapatkan ‘duit poket’ bersaing pada temasya Sukan Olimpik 2024 kali ini.
Keputusan tersebut berbaloi apabila Newman berjaya melakar sejarah apabila menaiki podium dengan meraih pingat gangsa di belakang juara dari Australia, Nina Kennedy dan atlet Amerika Syarikat, Katie Moon yang memenangi tempat kedua.
Newman yang kini berusia 30 tahun percaya bergelar pempengaruh media sosial turut memberikannya keyakinan untuk tampil lebih yakin di atas trek meskipun ramai memandang serong terhadap kegiatannya.
“Saya akan buat apa sahaja demi mendapatkan wang dan gembira dengan apa yang telah dilakukan di laman sosial sebelum ini. Apa sahaja gambar atau video yang saya muat naik, saya dapatkan duit dan sudah tentu ia memberi keyakinan tambahan buat saya.
“Secara jujur, saya pasti ramai yang pandang sinis dengan OnlyFans tetapi laman tersebut tidaklah seburuk yang disangka.
“Saya tidak boleh ubah persepsi mereka tetapi apa yang boleh saya katakan laman tersebut berjaya menghubungkan saya dengan ramai peminat olahraga di seluruh dunia,” katanya.
Menurut laporan, Newman mengenakan langganan sebanyak AS$12.99 (RM57.40) sebulan kepada setiap yang melanggan profilnya dalam laman OnlyFans dan kini sudah memiliki 25,000 peminat tetap. – AGENSI