fbpx

Olimpik Paris: Dhabitah tetap tersenyum hadapi perit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DHABITAH tetap berbangga dengan keseluruhan pencapaiannya di kota Paris memandangkan dia turun dengan status wildcard. - MSN MALAYSIA

SELEPAS menamatkan cabaran negara pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, ratu terjun kebangsaan, Nur Dhabitah Sabri mahu menggunakan masa yang ada bagi mendapatkan rehat secukupnya.

Atlet berusia 25 tahun itu menganggap dia sudah bekerja keras selama ini bagi menjalani latihan sehingga terlupa untuk ‘memanjakan’ diri dengan mendapatkan rehat berkualiti bagi memastikan kondisi berada dalam keadaan terbaik.

Dhabitah berkata, dia seolah-olah kurang menghargai diri sendiri kerana terlalu memaksa diri, namun tetap bersyukur kerana ramai pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepadanya.

“Selepas Doha (Kejohanan Akuatik Dunia 2024), saya tidak benar-benar berlatih dan tidak berada dalam situasi untuk menjalani latihan. Saya rasa penat kerana perlu uruskan banyak perkara.

“Sekarang saya hanya perlukan masa untuk berehat kerana terlalu keras dengan diri sendiri. Saya tidak cukup menghargai dan tidak berikan kredit kepada diri, jadi selepas ini saya memerlukan rehat,” katanya.

DHABITAH terpaksa bertarung dengan tempoh persediaan singkat selepas diberi tiket wildcard pada saat akhir. – MSN MALAYSIA

Kelmarin, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menamatkan aksi final acara tiga meter (m) papan anjal wanita pada Olimpik Paris di kedudukan terakhir daripada 12 peserta selepas mengutip 244.80 mata keseluruhan.

Meskipun tidak membawa pulang kilauan pingat, namun Dhabitah menganggap kemaraan ke pentas final sebagai pencapaian besar memandangkan dia tidak memiliki banyak masa melakukan latihan sebaik layak menerusi tiket wildcard pada 29 Jun lalu.

“Bukanlah aksi terbaik seperti yang diharapkan tetapi saya dapat mara ke pentas final. Pada awalnya saya tidak fikir untuk mara ke separuh akhir pun kerana notis serta latihan yang cukup singkat.

“Apa yang berlaku pasti ada sebab dan saya percaya mungkin ada perkara lebih bagus Allah nak beri. Dalam tempoh singkat, saya memang berpuas hati kerana dapat melayakkan diri ke acara akhir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI