DEBARAN mahupun tekan semakin dirasai baik di Malaysia mahupun di bumi Perancis terutama bagi skuad berbasikal trek negara yang menjadi harapan terakhir negara untuk membutirkan kilauan emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Seperti yang sedia maklum, skuad berbasikal trek mengambil acara pecut sebagai aksi pemanas badan buat kedua-dua pelumba lelaki negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menyimpan tenaga dalam acara keirin yang membuka tirai pada malam ini.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley meletakkan sepenuh keyakinan bukan hanya kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo, Azizulhasni tetapi juga kepada Shah Firdaus yang dilihat sebagai pencabar pingat nanti di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Tegas Beasley, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ telah mendapat momentum pecutan yang diperlukan lebih baik sewaktu di Olimpik Tokyo tiga tahun lalu selepas memperbaharui rekod kebangsaan untuk menamatkan pusingan kelayakan pada kedudukan ke-10 terbaik.
“Saya rasa Shah adalah calon pingat, manakala Azizul adalah calon utama untuk pingat emas nanti. Trek (Saint-Quentin-en-Yvelines) ini dalam keadaan baik kerana ia adalah trek yang sama yang telah kami gunakan beberapa kali sebelum ini.
“Untuk memberikan gambaran mengenai prestasi Azizulhasni, sewaktu di Tokyo (2021), beliau berada di kedudukan ke-17 keseluruhan dalam acara pecut dan berjaya meraih pingat perak selepas itu.
“Di Paris, beliau mengakhiri saingan di tempat ke-10 terbaik, jadi menjelang acara keirin Azizul kini berada dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.
Dalam pada itu, Beasley mengakui perlumbaan Olimpik Paris semakin laju memandangkan semua pelumba melakukan persiapan selama empat tahun untuk melakukan kejutan.
“Velodrome ini berusia 10 tahun tetapi ia baru sahaja diubahsuai, jadi ia kelihatan baru. Sudah pasti, pelumba yang berada di sini akan berlumba lebih laju kerana ini adalah Olimpik. Anda berlatih selama 4 tahun untuk menunjukkan prestasi terbaik di sini,” katanya.